Nak Sangat Kaki!!

Wednesday, October 13, 2010

HAAA..Ni dia petua untuk Kaki Pancing!!

 


Petua ustaz mengenai ikan merah

LAIN orang lain ragam dan lain orang juga lain petuanya. Menurut pendakwah bebas, Daud Che Ngah, ketika mengail di perairan Labuan, ada petua tertentu yang diamalkan oleh orang di sana. "Saya tidak pasti bagaimana ikan berkomunikasi tetapi menurut rakan dari Labuan, jika ikan merah meragut umpan dan berjaya dinaikkan, jangan sekali-kali memegang ikan itu. "Kalau sayang sekali pun pada tali pancing anda, potong saja talinya dan pasang mata kail baru. Kalau anda memegang ikan merah itu, tidak akan ada lagi ikan merah yang akan dinaikkan selepas itu," katanya. Ustaz Daud berkata, mungkin ketika menggelupur ada isyarat bunyi tertentu yang dihantar kepada ikan merah lain di air. Ikan merah bergerak berkumpulan, jadi apabila seekor berjaya dikail mungkin ada ikan lain menyedari ia kehilangan 'rakan'. "Kuasa Allah semuanya boleh berlaku dan tidak sampai pada pemikiran kita," kata Daud yang sentiasa membawa ke mana sahaja joran apabila ke luar daerah. Beliau juga pernah memancing di perairan Pangkor.


Berkat dapat izin sebelum mengail

PETUA kaki pancing Terengganu, Alwi Ali, 52, iaitu pastikan setiap kali keluar rumah untuk memancing ialah beritahu isteri atau keluarga, begitu juga majikan. Selain itu, pastikan semua urusan dibereskan. "Jangan meninggalkan masalah di rumah. Ini termasuk meninggalkan duit belanja dan keperluan sekolah anak-anak," katanya yang turut menasihatkan kaki pancing supaya memperolehi umpan di laut kerana ia adalah umpan segar dan yang terbaik untuk ikan di situ. Pilihlah sotong, kembung atau selar sebagai umpan, katanya. Mengenai awan, Alwi berkata, awan hitam pekat biasanya akan membawa bersama ribut dan hujan tetapi dalam masa yang singkat. Dalam tempoh sejam ia akan reda dan kembali tenang. "Ribut ini datang bersama angin dari arah barat laut dan muncul secara tiba-tiba," katanya sambil menasihatkan jika awan hitam kelihatan, pemancing perlu segera kembali semula ke darat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Ketika ribut, kilat turut memancar dan kelihatan seolah-olah mencecah permukaan laut. Lazimnya ribut ini berlaku pada Jun, Julai dan Ogos.

 

Awan sejengkal, ribut akan tiba

SEBAGAI kaki pancing yang sering berada di laut, anda berdepan risiko dilanda ribut. Ia yang datang secara tiba-tiba biasanya membahayakan pemancing terutama yang menaiki bot kecil. Oleh itu, sebagai kaki pancing, anda wajar mengetahui jangka masa ribut akan tiba di lokasi anda. Ini penting untuk membolehkan anda membuat keputusan sama ada berlindung di pulau atau kembali ke pantai. Menurut, Adnan Osman yang berasal dari Langkawi, Kedah, jika anda nampak awan hitam separas dengan laut ia bermakna ribut masih jauh dan memakan masa yang panjang sebelum tiba di tempat anda. Dalam keadaan ini, biasanya anda masih mempunyai masa kembali ke pantai. Tetapi jika awan hitam berada pada paras sejengkal atau lebih daripada paras laut, ribut berkenaan sudah begitu hampir. Oleh itu, segera berhenti memancing kerana ribut akan tiba dalam masa tidak sampai satu jam. Anda perlu segera mencari tempat berlindung. Pastikan anda memakai jaket keselamatan. Oleh itu, jika anda menggunakan bot kecil dengan kelajuan rendah anda patut berwaspada apabila berdepan dengan keadaan ini. Justeru anda dinasihat supaya kerap memerhatikan awan berdasarkan tips di atas. Jangan kerana leka memancing, anda lupa soal keselamatan diri sendiri.



Kekalkan Ikan Segar

BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan. Pertama, menggunakan uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta, jaring koyak dan ikan terlepas. Cara kedua dan paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai. Cara ketiga banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk. Cara keempat ialah dengan membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam. Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan, besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak, otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun, cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja. (Sumber rujukan: Majalah Wawasan Pertanian).
 

Ikan kecil panggil ikan besar

KAKI pancing wajar mengetahui etika memancing. Misalnya, pemancing hanya perlu mengambil hasil tangkapan yang besar dan diperlukan saja manakala ikan kecil dan tidak diperlukan dilepaskan semula, terutama bagi spesies ikan yang hampir pupus. Amalan ini bukan sahaja dapat mengekalkan spesies ikan tertentu pada masa depan malah bersesuaian dengan petua orang tua. Selain tidak bertindak kejam ia juga dikatakan akan membolehkan kita mendapat tangkapan yang banyak dan besar. Menurut Rahmat Mohd Nazim, 36, dari Pekan, Pahang, ada orang tua berpesan jika pemancing dapat ikan kecil, kita perlu lepaskan semula. Jangan dianiaya. "Untuk mendapat ikan yang banyak, kita boleh minta anak ikan berkenaan memanggil ikan yang lebih besar untuk tangkapan kita. Kemudian kita bebaskan ikan itu ke laut. Insya-Allah jika ada rezeki kita akan dapat tangkapan lebih besar," katanya ketika mengunjungi Balai Joran, baru-baru ini. Menurut Rahmat, ramai yang mengamalkan petua itu pernah mendapat tangkapan lumayan. Walaupun petua ini tidak semestinya menjadi kenyataan, namun yang penting amalan ini menjadikan pemancing lebih beretika.



No comments:

Post a Comment